Rabu, 26 September 2012

Kursus - Induksi - SSM - Tugasan - Individu - Wawasan - 2020


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Post kali ini, abai mahu kongsi bersama...
TUGASAN INDIVIDU 
sewaktu abai hadirkan diri ke Kursus Induksi SSM pada Mei 2012...

Tajuk Tugasan
WAWASAN 2020 TELAH DIPERKENALKAN PADA PERSIDANGAN PERTAMA MAJLIS PERNIAGAAN MALAYSIA. DASAR INI MENYATAKAN BAHAWA MENJELANG TAHUN 2020, MALAYSIA AKAN MENJADI SEBUAH NEGARA INDUSTRI YANG MAJU, MAKMUR DAN BERSATU PADU.
HURAIKAN LIMA (5) CABARAN YANG TELAH DIKENALPASTI UNTUK MEREALISASIKAN WAWASAN TERSEBUT.

PENGENALAN
Wawasan 2020 telah diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-empat, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa beliau membentangkan satu kertas kerja yang bertajuk “Malaysia – Melangkah ke Hadapan (The Way Forward)”. 
Kertas kerja tersebut mengandungi satu pemikiran dan rangka kerja mengenai matlamat Malaysia untuk menjadi sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya pada tahun 2020. Negara maju sepenuhnya bukanlah bermaksud dari segi ekonomi sahaja tetapi turut merangkumi bidang-bidang lain seperti bidang politik, sosial, kerohanian, psikologi serta perpaduan nasional, maruah bangsa dan sosial. 
Wawasan 2020 merupakan satu idea yang relevan dan ideal dalam membentuk Malaysia menjadi sebuah negara maju setanding dengan negara-negara maju yang lain. Berikut ialah sedikit ucapan beliau pada persidangan tersebut : “Menjelang tahun 2020, Malaysia boleh menjadi negara yang bersatu padu dengan masyarakat Malaysia yang mempunyai rasa keyakinan diri, ditunjangi nilai-nilai moral dan etika yang kukuh, menikmati kehidupan dalam sebuah masyarakat yang demokrasi, liberal lagi bertolak ansur, berbudi, adil dan saksama ekonominya, progresif, makmur dan sepenuhnya menguasai ekonomi yang mampu bersaing, dinamis, tangkas serta mempunyai daya ketahanan. Malaysia yang benar-benar tidak akan tercapai sehingga kita akhirnya kelak dapat menguasai sembilan cabaran asas strategis yang telah kita hadapi sejak negara ini lahir sebagai sebuah  negara yang merdeka”..
Dengan itu, Malaysia bakal membentuk sebuah negara merdeka yang maju, bersatu-padu, mampu berdiri di atas kaki sendiri, progresif, aman dan makmur melalui cara yang tersendiri tanpa perlu mengikut corak dan cara malah setanding dengan negara-negara maju yang lain.

LIMA CABARAN WAWASAN 2020
Rentetan daripada pembentangan Wawasan 2020, Tun Dr. Mahathir telah meletakkan satu dasar yang kukuh bagi rakyat Malaysia terutamanya generasi muda yang akan membawa negara melangkah ke ambang 2020.  Namun, rakyat Malaysia perlu menghadapi rintangan dan cabaran dalam merealisasikan matlamat kerajaan dalam menjadi sebuah negara maju mengikut acuan sendiri. Antara cabaran yang perlu dihadapi oleh rakyat Malaysia ialah:

CABARAN PERTAMA
Cabaran pertama ialah mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang serupa dan dikongsi bersama. Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, bekerjasama sepenuhnya, secara adil dan didokong oleh satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.
Dalam mewujudkan masyarakat yang bersatu-padu, istilah seperti perpaduan negara, kesetian kepada negara, keharmonian dan toleransi perlulah difahami dan diamalkan oleh rakyat Malaysia. Pembentukan masyarakat yang bersatu-padu ini termasuklah rasa hormat dan perasaan bangga tehadap masa hadapan yang dikongsi bersama tanpa mengira bangsa dan agama. Bangsa itu mestilah sejahtera, berintegrasi wilayah-wilayahnya serta kelompok-kelompok etnik dan menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan.
Antara contoh strategi yang telah digariskan bagi membentuk masyarakat Malaysia yang bersatu padu ialah penubuhan sekolah wawasan yang melibatkan perkongsian kemudahan antara sekolah kebangsaan dengan sekolah jenis kebangsaan. Seterusnya, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang disertai oleh remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga bertujuan memupuk semangat patriotik dan perpaduan antara kaum dalam kalangan remaja.

CABARAN KEDUA
Cabaran kedua ialah mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang dicapai serta gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, sedar semua kemampuannya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain.
Mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri adalah pra-syarat penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara yang maju.  Kita hendaklah tabah menghadapi pelbagai masalah dan bangga dengan apa yang dicapai.  Masyarakat Malaysia seharusnya dikenali oleh dunia luar melalui usaha mencapai kecemerlangan, sedar semua kemampuan diri dan tidak mudah mengalah dalam menongkah arus pemodenan dengan cara yang tersendiri.  Dengan ini, rakyat Malaysia akan dihormati oleh bangsa lain.
Di peringkat sekolah rendah lagi kanak-kanak diajar tentang sejarah Malaysia.  Ianya bertujuan supaya kanak-kanak ini terdedah dengan konsep kebebasan dan kemerdekaan.  Dengan ini mereka akan bangga sebagai warga Malaysia dan akan mengharumkan nama negara diperingkat antarabangsa sama ada dalam bidang sukan, kesenian, pendidikan, tenaga kerja mahir dan sebagainya.
Antara perancangan kerajaan yang telah dibuat untuk menghadapi cabaran yang kedua ini ialah dengan memperkenalkan cogan kata “Malaysia Boleh” pada tahun 1990 sebagai pendorong untuk rakyat Malaysia meningkatkan keyakinan diri untuk menggalas cabaran negara ke persada antarabangsa. Secara tidak langsung, rakyat Malaysia mendapat semangat baru untuk menaikkan serta menjulang maruah dan martabat negara ke arena antarabangsa.

CABARAN KETIGA
Cabaran yang ketiga ialah mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, mengamalkan satu bentuk persefahaman yang matang, demokrasi Malaysia berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada banyak negara membangun. Dalam usaha merealisasikan cabaran ini, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang berasaskan perpaduan kaum. Sistem ini memerlukan kerjasama yang erat, persefahaman, kompromi, perbincangan yang ikhlas dan terbuka serta bertolak-ansur. Peneraju kepimpinan negara dipegang oleh barisan pemimpin yang dipilih oleh rakyat berasaskan kepada corak pemerintahan demokrasi. Melalui corak pemerintahan demokrasi ini, segala ketidakpuasan hati dapat dihindarkan selain dapat melahirkan pemikiran matang dalam kalangan rakyat jelata. Sistem demokrasi yang telus tanpa perbalahan ini akan menjadi kayu pengukur kepada negara lain kerana proses pemilihan pucuk pimpinan di negara kita dapat dijalankan dengan aman tanpa melibatkan pertumpahan darah sebagaimana yang berlaku kepada sesetengah negara.
Jelas bahawa sistem demokrasi yang berlandaskan perpaduan ini berjaya menyatupadukan semua bangsa dan kaum di Malaysia. Walaupun demikian, kita harus bersedia untuk menghadapi keadaan yang lebih genting dan mencabar pada masa hadapan. Apa yang perlu ialah usaha yang berterusan untuk mengekalkan, bahkan membaiki lagi suasana harmonis yang sedia ada, khususnya dalam kalangan pemimpin dan bakal pemimpin daripada segenap lapisan masyarakat. Jika kita imbas kembali tragedi 13 Mei 1969, persefahaman antara kaum pada masa itu masih kurang. Peristiwa tersebut harus dijadikan satu pengajaran yang berguna kepada kita semua. Jadi, ahli-ahli politik harus terus mengamalkan budaya politik bertanggungjawab, bermoral dan tidak  menimbulkan isu-isu etnik yang amat sensitif untuk menjayakan Wawasan 2020.
Strategi dan pelaksanaan seperti Majlis Perundingan Ekonomi (MAPEN) merupakan satu forum untuk perbincangan pendapat rakyat berkenaan dasar ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan.

CABARAN KEEMPAT
Cabaran yang keempat pula ialah mewujudkan masyarakat yang  sepenuhnya bermoral dan beretika, yang mana warganegara kukuh dalam nilai agama, dan kejiwaan dan didorong oleh tahap etika yang tinggi. Warga Malaysia mestilah mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan ditunjangi dengan budi pekerti yang luhur.
Dalam mengejar arus kemodenan dalam dunia yang dipenuhi dengan kecanggihan sains dan teknologi ini, nilai-nilai moral perlulah diterapkan dan diamalkan oleh rakyat Malaysia kerana pembinaan negara bangsa yang maju tanpa nilai-nilai moral dan etika yang tinggi, hanya mengundang kepada kemusnahan dan kehancuran sesebuah negara itu.
Antara strategi yang telah dilaksanakan dalam usaha mewujudkan masyarakat yang bermoral ialah pelaksanaan mata pelajaran Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Hal ini dapat mewujudkan satu generasi muda yang sudah diterapkan dengan nilai-nilai murni dan adab-adab Islamiyyah sejak kecil lagi. Penerapan nilai-nilai ini sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan generasi yang seimbang dari segi intelek, emosi, jasmani dan rohani.

CABARAN KELIMA
Cabaran kelima ialah mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka pada satu negara.
Semangat bersatu dalam perjuangan dan semangat berkongsi kuasa adalah tunjang kekuatan negara bangsa; bermula dari peringkat merintis perjuangan kemerdekaan sehinggalah kepada mengurus sebuah negara merdeka yang maju.  Akhir-akhir ini kita menyaksikan polemik berhubung isu kaum dan agama.  Ia telah sampai ke tahap yang mencetuskan kebimbangan kepada semua pihak. 
Beberapa faktor menjadi penyebab kepada polemik yang berlaku.  Salah satu darinya adalah persekitaran lebih terbuka hari ini yang membolehkan berlakunya perbahasan sehingga terlajak ke peringkat melanggar sempadan isu-isu sensitif yang menyentuh factor agama dan kaum.  Walau bagaimanapun, kita hendaklah berpegang teguh kepada kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh setiap komuniti utama dan setiap negeri ketika kelahiran negara kita yang merdeka, seperti yang telah termaktub di dalam perlembagaan persekutuan.
Bangsa perlu satu kekuatan sejati.  Tumpukanlah fahaman kita meningkatkan ukhuwah serta memfokuskan tenaga kita untuk membina kekuatan bangsa.  Jika kita bersama bertekad menumpukan fikiran dan tenaga untuk menjayakan program negara seperti Rancangan Malaysia Kesembilan, kita dapat menepis segala gangguan yang boleh menjejaskan tumpuan kita untuk mencapai misi nasional.
Contohnya, program Citrawarna yang dijalankan pada setiap tahun. Program Citrawarna ini mempersembahkan pelbagai budaya masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kepercayaan, adat dan agama masing-masing. Secara tidak langsung, program ini dapat mempromosikan negara kita kepada dunia luar dan memberi gambaran kepada mereka bahawa masyarakat Malaysia merupakan satu komuniti pelbagai kaum yang mampu hidup dalam suasana harmoni tanpa persengketaan.

KESIMPULAN
Konklusinya, setiap warga Malaysia harus memainkan peranan masing-masing dalam proses mencapai Wawasan 2020. Tanpa kerjasama daripada rakyat, negara akan gagal merealisasikan hasrat ke arah Wawasan 2020. Wawasan 2020 yang dirancang oleh pemimpin kita bertujuan membawa Malaysia ke arah kecemerlangan dalam setiap bidang agar setanding dengan negara-negara maju yang lain. Gagasan ini merupakan tonggak kejayaan negara ke arah tahun 2020.
Wawasan 2020 memerlukan beberapa perisian-perisian yang penting bagi merealisasikannya iaitu:
1.    Kualiti tenaga kerja
2.    Perubahan sikap dan nilai
3.    Penekanan kepada sains dan teknologi
4.    Perancangan
5.    peranan sektor swasta yang lebih dinamik

Sebenarnya ada banyak lagi komponen penting yang boleh merealisasikan Wawasan 2020.  Yang penting kita sebagai rakyat Malaysia hendaklah bersatu padu dan bekerjasama.  Tiada apa yang mustahil.  Jika setiap impian diikuti dengan tindakan yang betul dan diiringi sokongan semua pihak, maka Malaysia akan menjadi negara maju menjelang tahun 2020.
Wawasan 2020 sebenarnya bukan suatu visi dan impian seorang pemimpin. Wawasan ini menjadi harapan bagi semua rakyat Malaysia untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.  Wawasan ini bukan sahaja merangkumi aspek ekonomi, tetapi meliputi keseluruhan bidang kehidupan termasuk aspek budaya, sosial dan politik. Namun begitu untuk menjadikan wawasan ini sebagai satu kenyataan bukanlah semudah yang disangkakan. Kerjasama yang erat di antara rakyat Malaysia diperlukan dalam pelaksanaannya.  Kita tidak berharap Idea Wawasan 2020 menjadi 'was-was 2020'. 
Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia harus menghayati lirik lagu wawasan 2020 (lampiran A), berani menerima perubahan dan bersedia berubah untuk memasuki abad yang ke-21.

Rujukan
  1. Buku, Perintah – Perintah Am Bab A – F. Edisi 2006, Mdc Publishers Sdn Bhd
  2. Sidang Pengarang (2003). Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). Penerbit Femina     Petaling Jaya.
  3. MDC PUBLISHERS SDN BHD, 2005, Perintah-perintah Am/ Peraturan-peraturan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam/ Arahan Perbendaharaan/ Panduan Perbendaharaan/ Tatacara Pengurusan Stor/ Arahan Perkhidmatan/ Akta Acara Kewangan
  4. INSTITUT TADBIRAN AWAN NEGARA (INTAN),MALAYSIA, BUKIT KIARA, KL, Kursus Induksi Untuk Pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam Malaysia ( Kumpulan Pengurusan & Profesional & Kumpulan Sokongan Gred 5&6)
  5. MODUL KOMPREHENSIF ‘KURSUS INDUKSI SISTEM SARAAN MALAYSIA, 2003, UDESA ENTERPRISE, KL,
  6. http://fasisbh1-kamin.zoom-a.com/wawasan2020.html
  7. http://en.wikipedia.org/wiki/Wawasan_2020
  8. http://www.wawasan2020.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan